skjg1.zoom-a.com
SK JALAN GURNEY 1
Jalan Gurney Satu
54000 Kuala Lumpur


 Telefon: +60326988475     Faksimile: +60326941946     Emel: skjg1@yahoo.com
| LAMAN RASMI SEKOLAH KEBANGSAAN JALAN GURNEY (1) | BUKU PELAWAT | KATA ALU-ALUAN | SEJARAH | FALSAFAH PENDIDIKAN | LOGO SEKOLAH | VISI & MISI | DOA SEKOLAH | LAGU SEKOLAH | STAF GURU | STAF PEJABAT | PAUTAN | PROFIL | ALBUM GAMBAR | PELAN LOKASI | FALSAFAH SEKOLAH | ANALISIS UJIAN 1/2014 | TAHUN 5 | ANALISIS UJIAN 1/2014 | TAHUN 6 |

SEJARAH SEKOLAH

 

Bangunan pejabat sekolah

Bendera SKJG1

Perkembangan sistem pendidikan di Kuala Lumpur pada awal tahun 1950-an telah mendesak Kerajaan Negeri Selangor mendirikan sebuah sekolah yang bahasa pengantarnya ialah bahasa Inggeris. Bangunan ini didirikan di atas sebidang tanah seluas 5 ½ ekar di antara Jalan Gurney dengan Jalan Gurney Satu pada tahun1957.

Bangunan tersebut merupakan satu blok bangunan baru dua tingkat beratap genting memanjang   membelakangkan jalan besar. Luas bangunan ini ialah 300 kaki  X  30 kaki. Mengandungi 14 bilik darjah             termasuk 3 bilik yang boleh diubahsuai menjadi dewan. Sebuah pejabat. 6 buah tandas. Bangunan ini juga dilengkapi dengan kipas dan lampu. Pada waktu bangunan ini boleh dikatakan sebagai sebuah bangunan yang moden.

Juga dilengkapi dengan padang permainan yang luasnya 2 ekar. Sebuah kantin. Dan sekolah ini memulakan sesi pertamanya pada awal tahun 1958. Nama asal sekolah ini ialah Gurney Road School. Menerima 147 orang pada tahun pertama operasi yang terdiri daripada pelajar SK. Jalan Raja Muda, SK. Kampung Bharu, dan SK (T) Sentul. Mempunyai 7 orang kakitangan termasuk Guru Besar, iaitu Encik Yap Swee Hin. Hanya kelas tahun satu sahaja yang dibuka.

Selepas 3 bulan beroperasi, Encik Yap Swee Hin digantikan oleh Puan R. I. Sibert, manakala Encik Yap Swee Hin menyandang jawatan sebagai Guru Penolong Kanan.

Pada awal tahun 1959, enrolmen pelajar terus meningkat kepada 589 orang. Manakala kelas yang dibuka ialah 7 kelas tahun satu; 6 kelas tahun dua. Bilangan guru juga turut bertambah kepada 14 orang termasuk guru besar.

Pada bulan Mac 1959, bangunan SK. Jalan Gurney Satu telah dirasmikan oleh Raja Muda Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Aziz.

Pada waktu itu SK. Jalan Gurney Satu terus menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Berikutan dengan itu sekolah ini menjadi rebutan ibu bapa di kawasan ini. Tambahan pula inilah satu-satunya sekolah yang bahasa pengantarnya bahasa Inggeris di kawasan ini. Hal ini menyebabkan enrolmen pelajar terus meningkat sehinggakan Kerajaan Negeri Selangor terpaksa mendirikan blok tambahan yang mengandungi 6 buah bilik darjah; 3 kelas boleh ubahsuai; 1 bilik guru; dan tandas. Pada masa ini enrolmen pelajar ialah 797 pelajar dengan agihan kepada 18 buah kelas, dan 22 orang guru.

 Disebabkan peningkatan pelajar terlalu mendadak, pada tahun1962 sebuah bangunan tiga tingkat telah didirikan di hadapan bangunan asal. Bangunan ini mengandungi 9 bilik darjah. Sehingga akhir 1963 jumlah kelas ialah 25 kelas; jumlah guru ialah 33 orang; dan enrolmen adalah 1087 pelajar.

Peningkatan pelajar terus bertambah, justeru itu Jabatan Pelajaran Selangor telah membahagikan sekolah kepada 2 sesi dengan 2 pentadbiran. Gurney Road School (One) di bawah guru besar Puan R. I. Sibert dan Gurney Road School (Two) di bawah guru besar Encik Phang Piang Fah.

Dalam menjalankan sesi persekolahan harian kedua-dua sekolah terpaksa bergilir-gilir menggunakan kelas (enam bulan sesi pagi; enam bulan sesi petang). Berikutan pelaksanaan penggunaan bahasa Kebangsaan di sekolah nama kedua-dua sekolah bertukar kepada SRK. Jalan Gurney (1), dan SRK. Jalan Gurney (2) pada 1973.

Pada 1979, sebuah kantin baru didirikan bagi menampung jumlah pelajar yang meningkat. Bangunan kantin asal diubahsuai menjadi pusat sumber. Projek ini dibiayai oleh PIBG dengan kos sebanyak RM40 000.00

 

Bangunan kantin sekolah

Bangunan Perpustakaan sekolah

Pada 1981, dua blok bangunan dua tingkat yang mengandungi empat bilik darjah; 2 tandas telah didirikan di hadapan sebelah kanan blok asal.

Pada 1987, sebuah surau dibina atas peruntukan PIBG telah dibina dengan biaya sebanyak RM70 000.00. Menjelang 1988 sekolah ini mempunyai;

i.                    5 blok bangunan;

ii.                 1 pusat sumber;

iii.               1 kantin;

iv.                1 surau

v.                   1 bilik guru secara guna sama.

Pada pertengahan tahun 1993, blok bangunan lama di belakang bangunan asal dirobohkan. Dan sebagai ganti kerajaan telah mendirikan satu blok bangunan 4 tingkat dengan;

i.                    12 bilik kelas;

ii.                  8  tandas;

iii.                8 stor;

iv.                1 dewan terbuka.

Pada ketika ini juga perubahan telah dibuat pada bangunan asal, di mana bangunan ini telah dibahagi dua untuk dijadikan pejabat dan bilik guru yang berasingan. Pada waktu ini juga bilik Muzik telah didirikan. Bangunan baru itu mula digunakan pada pertengahan tahun 1994.

 

Dewan Sekolah

Pada 1994, bangunan ‘Pavillion’ telah dirobohkan untuk didirikan dewan besar, atas sumbangan Sultan Brunei. Malangnya bangunan itu telah terbengkalai hingga kini kerana silap pengurusan. ‘Pavillion’ ini pada asalnya untuk kegiatan kokurikulum. Dan untuk kegiatan sukan kerajaan telah membina;

i.                    2 gelanggang simen – untuk permainan sepaktakraw / badminton.

ii.                 1 padang bola – untuk permainan bolasepak / hoki / bola jaring.

Pada 1997, nama sekolah ini sekali lagi bertukar atas arahan kerajaan. Nama baru sekolah ialah Sekolah Kebangsaan Jalan Gurney Satu.

Pada tahun 1999, sebuah makmal komputer yang dilengkapi dengan sistem rangkaian telah dibina. Makmal ini mempunyai 15 terminal dengan 1 server. Makmal ini mula beroperasi pada tahun 2000. Pada tahun 2001 makmal ini sekali lagi mengalami perubahan dengan menggunakan sistem rangkaian yang baru di bawah seliaan syarikat CIE Softwares. Makmal itu kini mempunyai 22 komputer; 1 server; dan 1 hub.

Pada tahun 2000, beberapa bangsal / gazebo telah dibina untuk pelajar berehat. Projek ini sumbangan PIBG. Bangsal-bangsal ini kemudiannya dinamakan dengan nama Dataran Datuk Dr. Abdul Rahim.

Pada 2001, sekolah dibaik pulih untuk keseluruhan. Antara kerja yang dilaksanakan ialah;

i.                    pempaipan semula;

ii.                 pendawaian semula;

iii.               penambahan kemudahan;

iv.                pemagaran;

v.                   pengecatan semula; dan

           vi.                baik pulih.

 

Makmal Komputer SKJG1

Pada September 2001, sekolah ini dijangkakan akan mendapat sebuah lagi makmal komputer. Projek ini dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Adalah diharapkan menjelang sesi 2002 sekolah akan dapat memecut untuk mencapai sasaran iaitu kecemerlangan akademik dan kokurikulum. Ini kerana asas yang baik sudah ada yang tinggal lagi hanyalah  pengembelengan tenaga ke arah itu.

Pada tahun 2003 Makmal Komputer siap dan tidak dapat dimasuki kerana terbengkalai dan tiada surat kelayakan masuk. Pada 11 Mei 2006 barulah Makmal Komputer diserahkan untuk pengurusan sekolah. Dan Mulai 1 Ogos 2006 Makmal Komputer digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran Pada tahun 2007 sekolah kita telah mendapat Pusat Akses Sekolah yang dijangkakan bakal digunakan menjelang September 2007. Itulah berkat usaha bersungguh-sungguh.

 

Tunas Bestari SKJG1

Pada tahun 2003 juga kelas Prasekolah mulai dibuka dengan Cikgu Embon sebagai tenaga pengajar. Kelas ini mengambil sebanyak 25 murid sebagai pelajar. Pembukaan kelas ini mendapat sambutan terutamanya golongan yang berpendapatan RM750.00 ke bawah.

 

 

SKJG1: Buat Bersungguh-sungguh - Do Your Best


Zoom A - Program Pembelajaran Secara Interaktif Melalui Internet Yang Tercanggih Di Malaysia

Pelawat: